Friday 2 August 2013

SUMPAHAN ORANG MINYAK

P.Ramlee - Filem 'Sumpah Orang Minyak'

Filem ini adalah filem seram yang telah diarahkan oleh P. Ramlee dan diterbitkan oleh Malay Film Productions Ltd.  File mini telah dibintangi oleh:
P. Ramlee (Si Bongkok)
Salleh Kamil (Buyong)
Shariff Dol (Syaitan)
Sri Dewi (Afida)
Marion Willis (Puteri Bunian)
Daeng Idris (Bang Selamat)


Ringkasan Cerita

Kampung Tualang Tiga, di mana cerita ini telah bermula. Si Bongkok hidup melarat kerana berwajah hodoh dan juga berbuatan ayahnya. Orang kampung bukan setakat membenci Si Bongkok, tetapi membulinya.
Hanya 2 orang sahaja yang manaruh belas kasihan kepada Si Bongkok, iaitu Bang Selamat dan Afida. Bang Selamat bekerja sebagai pembuat batik. Di pondok buruk, Si Bongkok membantu mencurahkan seni pada batik dan juga lukisan.
 
Suatu hari, Si Bongkok ketika mengambil air di sungai, Buyong beserta kawan-kawannya telah ternampaknya lalu mengejarnya.
 Si Bongkok berjaya ditangkap, dia diikat kemudian dipukul dan ditendang serta dibaling dengan batu oleh Buyong dan kawan-kawannya serta juga orang-orang kampung.

Si Bongkok yang tidak bersalah merayu supaya dilepaskan. Katanya, "Tolonglah lepaskan aku. Aku tak bersalah. Kalau aku bersalah aku meminta ampun." Tetapi rayuan tersebut tidak dipedulikan, Si Bongkok terus diseksa dan didera.
 
Bagaimanapun, Si Bongkok bernasib baik apabila Afida (anak Datuk Penghulu) datang menyelamatkannya. Dia telah membuka ikatan yang mengikat Si Bongkok dan memberi minum air.Afida yang melihat kejadian itu dengan segera membuka ikatan kaki Si Bongkok.
Setelah termakan budi kerana menyelamatkan dirinya, Si Bongkok telah melukis gambar wajah Afida bersama wajahnya dan dia berhasrat menyampaikan lukisan tersebut kepada Afida di majlis Malam Pemudi Seni Wilayah Utara.
  
Ketika Si Bongkok berada di majlis tersebut, Buyong telah meracuni fikiran orang-orang kampung supaya membenci Si Bongkok. Katanya, disebabkan dosa-dosa bapak Si Bongkok Kampung Tualang Tiga tercemar. Penduduk kampung dengan hasutan Buyong mahukan supaya Si Bongkok dihukum bunuh, tetapi dengan rayuan Afida, lagi pun bukan Si Bongkok yang bersalah, hukuman direngankan. Di atas pertimbangan Datuk Penghulu, dia telah menasihatkan Si Bongkok supaya meninggalkan kampung Tualang Tiga. Si Bongkok patuh, dan sebelum meninggal majlis tersebut sempat juga dia menyerahkan lukisan hasil kerja seninya kepada Afida.

Apabila Afida mengeluarkan lukisan tersebut dari beg kain terpampang gambar Afida dan Si Bongkok dengan catatan: "Gadis Chantek dan Binatang" yang mana ini sangat mengharukan Afida.

Sebelum meninggalkan kampung Tualang Tiga, Si Bongkok pergi ke pusara bapaknya dan disitu Si Bongkok menyumpah-seranah diatas perbuatan bapaknya hingga menyebabkan dirinya terseksa.

Sambil menendang-nendang dan memijak-mijak pusara bapaknya itu dan diiringi pula dengan kilat sabung-menyabung dan ribut petir Si Bongkok menyeranah bapaknya: "Dosa yang kau lakukan mengapa aku menerima akibatnya? Ya, Tuhanku, inikah keadilan? Inikah keadilan? Mengapa kau ciptakan jasadku seburuk ini? Mengapa kau tuliskan nasibku sehina ini? Mengapa?..." Kuasa Tuhan merubah segalanya. Tiba-tiba sebuah istana yang indah muncul di hadapan Si Bongkok. Kemudian keluarlah seorang puteri menyambut dan menjemput Si Bongkok.

Si Bongkok diiringi untuk mengadap penghulu di situ, Penghulu Bunian. Dalam pertemuan tersebut, Si Bongkok telah diberi sebuah kitab Seribu Satu Hikmat dan ia hanya dibolehkan memilih satu saja. Si Bongkok, tanpa berfikir panjang, telah memilih untuk menjadi cantik dan sebelum itu dia terpaksa mematuhi syarat (sumpah) iaitu "Jangan menyombong dan memusuhi sesama manusia. Jika engkar dia akan binasa."


Hasratnya termakbul, rupa parasnya kini amat kacak. Puteri Bunian menaruh harapan, dan bercintalah mereka. Demi cinta mereka bersua dengan Penghulu Bunian untuk bersatu. Permintaan mereka ditolak kerana perjanjian hanya memilih satu. Bila sudah sampai waktunya, Si Bongkok terpaksa kembali ke Dunia Manusia yang telah ditinggalkannya selama tiga tahun tetapi dirasakan baru tiga hari oleh Si Bongkok dengan dihantar oleh Puteri Bunian.




Sebelum berpisah, Putri Bunian yang juga menyintainya bertanya: "Mungkinkah kita berjumpa lagi." Jawab Si Bongkok: "Ya, sesudah duniaku dan duniamu bercantum satu."

Si Bongkok dihantar pulang ke dunia asalnya. Dia terus pulang ke pondok Bang Selamat. Tibanya dia di sana, Bang Selamat tidak dapat mengcam Si Bongkok. Si Bongkok akhirnya mendedahkan identiti.
Si Bongkok amat terkejut apabila Bang Selamat memberitahunya sudah 3 tahun Si Bongkok meninggalkan kampung. Lebih mengejutkan lagi, Afida sudah bertunang dengan Si Buyong.

 Untuk hadiah di Malam Pesta Si Bongkok telah melukis wajah Afida dan wajahnya untuk diberikan kepada Afida yang menyelamatnya suatu ketika dulu yang kini sudah bertunang dengan Buyong dengan catatannya: "Gadis Chantek Dan Taruna".
 
Kehadiran Si Bongkok yang cantik dan tanpan (seolah-olah seperti anak Raja layaknya) itu dikagumi oleh penduduk-penduduk kampung. Si Bongkok dihormati dan disembah-sembah termasuk Datuk Penghulu yang baru serta Buyong dan kawan-kawanya.

Si Bongkok memberi hadiah lukisannya kepada Afida. Katanya: "Terimalah sumbangihku wahai Afida." "Bagaiamana tau nama hamba?" tanya Afida. Jawab Si Bongkok: "Sejak kau menolong aku dulu." Sebaik saja melihat lukisan yang diberi dengan keheranan Afida berkata, "Si Bongkok...!"

"Ya, akulah Si Bongkok yang dikau haramkan menjejak Kampung Tualang Tiga," pekik Si Bongkok.

Si Bongkok memberitahu yang dia mahu membawa Afida keluar bersamanya dari Kampung Tualang Tiga, dan sebabkan Afida tidak sukakan Buyong kerana dia membunuh bapaknya kerana menolak pinangannya, dia rela mengikut Si Bongkok.

Setelah menyatukan hasratnya, Si Bongkok terus membawa Afida pergi. Si Buyong tersalah langkah. Afida menjadi mangsa. Si Bongkok menuntut bela. Si Bongkok hilang pertimbangan, dia lupa dengan sumpahnya mengapa dia menjadi cantik. Si Bongkok bertarung dengan Buyong yang mana akhirnya Buyong kecundang, dia mati ditangan Si Bongkok.
 
Kerana sumpah sudah dilanggar, Penghulu Orang Bunian muncul dan menyatakan kepada Si Bongkok bahawa kecantikannya tidak boleh dilihat manusia.
 
Datanglah syaitan memberi harapan. Boleh menjadi manusia seperti sedia kala. Pertama, Si Bongkok misti memperkosa 21 wanita dalam tempuh seminggu. Kedua, Si Bongkok mesti mengakui Syaitan Tuhannya. Setelah persetujuan dicapai, Syaitan memberi sebentuk cincin kepada Si Bongkok yang mana apabila dipakainya bentuk dan wajahnya berubah menjadi 'Orang Minyak'. Dengan itu Orang Minyak pun menjalankan perintah Syaitan dengan melakukan perkosaan seorang demi seorang wanita yang terdapat di Kampung Tualang Tiga yang mana angkaranya itu menjadikan penduduknya berada dalam kebimbangan dan ketakutan. Kampung Tualang Tiga menjadi huru-hara

Orang Minyak berjaya ditangkap dan dipenjarakannya di dalam buyong untuk dimusnahkan.
 
Sebelum meninggalkan Kampung Tualang Tiga, Penghulu Orang Bunian menyerahkan kuasa memimpin kampung tersebut kepada Ali menggantikan Datuk Penghulu yang meninggal dunia.

Penghulu Orang Bunian berpesan: "Jangan menghina sesama manusia. Jika menghina sesama makhluk, hilang ria timbul duka."
Orang Minyak yang termakan sumpah dibawanya pergi. Ingatlah bahawa tiap-tiap ciptaan itu ada hikmah disebaliknya. Pasti ada sesuatu yang tersirat disebalik yang telah tersurat.[TAMAT]



Komen & Kritik di dalam Filem Sumpahan Orang Minyak.

Kami telah bersepakat untuk komen & kritik secara keseluruhan adegan di dalam Filem Sumpahan Orang Minyak ini yang di mana dirasakan perlu dikritik.  Antaranya ialah:

  •    Adegan memijak kubur memperlihatkan tidak ‘respect’ kepada ayah sendiri dan sangat jahat bagi kami yang menonton.  Tidak perlulah sampai mempamerkan adegan tersebut.  Pada permulaan cerita menunjukkan bahawa Si Bongkok mempunyai hati yang suci murni, baik dan hanya berwajah hodoh sahaja.  Jadi, P.Ramlee sepatutnya mempamerkan watak Si Bongkok memarahi ayahnya sahaja dan merungut dan tidak perlulah memijak dan menghina-hina ayahnya.  Kesucian hati perlulah dikekalkan di dalam diri Si Bongkok, lalu barulah dia diberi pertolongan oleh Penghulu Puteri Bunian.  Hal ini kerana, orang yang baik haruslah diberi peluang untuk mendapatkan perkara yang baik. Bukankah ‘baik dibalas baik dan jahat dibalas jahat’.  Disebabkan kemurnian Si Bongkok dia telah diberi balasan baik (bantuan Penghulu Puteri Bunian) bukan sepatutnya hinaan dan cacian yang dikeluarkan oleh Si Bongkok.

  •  Di dalam Adegan yang kami rasakan lawak dan tidak patut ada juga adalah, apabila Si Bongkok diberi Kitab oleh Penghulu Puteri Bunian di mana Si Bongkok pandai pula membaca.  Adegan Bongkok menyelak dan menyelak, dan membaca berkenaan "untuk menjadi cantik" yakni dia perlu mandi dalam kolam Bahtera Nabi Allah Nuh AS.  Adakah Si Bongkok ini mempunyai kelebihan membaca?  Kerana setahu kami Si Bongkok adalah orang kampung yang hidup susah, tidak mempunyai kawan, dibenci oleh orang kampung, ayahnya pun jahat jadi manakah dia tahu membaca?  Cukuplah sekadar membuat adegan Penghulu Puteri Bunian memberitahu kepada Si Bongkok jika dia mahu cantik apa yang perlu dibuat olehnya.  Kami tidak pasti sama ada adegan  ini adalah satu kesilapan atau disengajakan oleh P. Ramlee.

  •    Adegan pertarungan di antara Si Bongkok dengan Buyong yang disertai dengan angin ribut dan petir sabung-menyabung memanglah memperlihatkan kreativiti antara P. Ramlee sebagai pengarah namun bagi kami, ianya tidak perlu sebenarnya.  Tidak perlu ‘effect’ suasana sekeliling itu kerana mengganggu sedikit sebanyak.  Adegan Si Bongkok yang berjaya membunuh Buyong juga kelihatan hebat kerana Si Bongkok dahulunya Bongkok, bagaimana dia boleh begitu ‘warrior’ dan hebat berlawan?  Dia hanya meminta untuk menjadi cantik dan bukanlah hebat berlawan.  Adegan ini membuat kami sedikit ‘confuse’.  Cukuplah hanya menunjukkan perlawanan biasa-biasa sahaja tidak perlu tunjukkan hebatnya mereka berlawan.


Secara keseluruhan cerita ini, menunjukkan bahawa tipikal masyarakat Melayu yang mengagungkan benda yang cantik dan mencaci benda yang buruk.  Di dalam adegan ini menunjukkan Si Bongkok telah dihina, dicaci dan dimaki semasa wajahnya buruk dan hodoh.  Sehinggakan dimasukkan adegan baling batu kepadanya serta dipukul oleh orang kampung.  Watak Si Bongkok dilihat sangat hina di mata orang kampung. Namun begitu, mengapa kaitkan Si Bongkok menjadi buruk akibat perbuatan ayahnya?  Hal ini dilihat seperti satu adegan yang mencaci dan menghina kuasa tuhan.  Adakah ayah yang perangai jahat, maka anaknya yang lahir menjadi buruk? Mungkin adegan ini perlu jika Si Bongkok juga sama perangai seperti ayahnya.  Dan apabila Si Bongkok menjadi cantik, dia telah diagung-agungkan sehingga di sujud oleh orang kampung.  Tidak perlu rasanya menunjukkan Si Bongkok diagungkan cukuplah hanya orang kampung terpesona, kagum dan suka melihat wajah Si Bongkok.  Hal ini kerana orang lain di kampung itu juga cantik dan tak perlu diagung-agungkan dengan terlalu melampau.


Dikomen & dikritik oleh:

Kumpulan DDF 
1) Nur Farah Mohamad Azlan
2) Despi Yola Sainal
3) Norhidayah Jaafar


Terima kasih.

No comments:

Post a Comment